Monday, January 11, 2010

Warisan Rumah Traditional Melayu Johor

rumah traditional melayu johor juga dikenali sebagai rumah limas johor. nilai seni binanya sangat cantik dengan corak ukiran kerawang. dihasilkan tanpa menggunakan paku, hanya berdasarkan kepada tanggam semata-mata.
rumah limas traditional dibina berdasarkan pada cuaca iklim tropica di Tanah Melayu, nilai-nilai astetika yang terdapat dalam setiap binaan di pengaruhi senibina islam seperti corak flora dan geometri. selain itu, rumah limas juga banyak dipengarui element-element luar seperti dari british, belanda, dan juga unsur-unsur rumah indonesia.
Serarah Rumah Limas

Pengaruh iklim khatulistiwa di Malaysia banyak mempengaruhi corak kehidupan masyarakatnya termasuklah dalam seni bina rumah. Dalam konteks yang lebih kecil iaitu dengan mengambil contoh seni bina rumah limas di Johor, pembinaan rumah tradisional berkenaan berperanan sebagai tempat berlindung yang sesuai dengan faktor topografi tanah dan iklim kawasan tersebut. Jika disingkap daripada sudut sejarah rumah limas, perkataan ‘limas’ menjurus kepada atap yang mempunyai lima perabung (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997:66). Limas atau ‘bumbung lima’ ini ditambah struktur segitiga di atasnya lalu dipanggil ‘limas’ (daripada ‘lima emas’ kerana suatu masa dulu hanya rumah pembesar yang berbumbung limas, dan mungkin mula digunakan semasa Kesultanan Johor-Riau). Rumah jenis ini juga sering disebut dengan rumah Bari (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997:66). Bari dalam bahasa Indonesia berarti lama atau kuno.
Menurut Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh (1997: 70), rumah Melayu bentuk limas mula berkembang dan popular di Malaysia sejak pertengahan kurun ke 19. Pengaruh kebudayaan luar khususnya daripada Kepulauan Melayu seperti Pattani, Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau, Jambi, dan Bajau telah mempengaruhi seni bina dan reka bentuk rumah Melayu. Contohnya Rumah Minangkabau, Rumah Bugis, Rumah Belanda, dan Rumah Bujang. Kedatangan penjajah Barat khususnya Belanda dan Inggeris pula telah menyebabkan rumah tradisional Melayu Johor berubah bentuk daripada rumah bumbung panjang kepada rumah limas iaitu berbeza pada kedudukan bumbungnya (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997:67). Dapatlah dikatakan bahawa semua rumah tradisional negeri di Malaysia mempunyai rumah bumbung panjang namun, selepas kedatangan penjajah dan kemasukan pengaruh luar, seni bina dan bentuk rumah tradisional Melayu mengalami perubahan bentuk seperti limas atau bumbung Belanda di Johor. ( di ambil dari blog sambaltempe86.blogspot.com )

Struktur Rumah Limas

Rumah limas Johor mempunyai bentuk asas yang sama iaitu dibina sederhana tinggi. Dalamnya terdapat unsur rumah Melayu tradisi terutama ciri hiasan kelarai dan alas tiang rumah (Ensiklopedia Malaysiana jilid 11, 1996:248). Cara untuk mengenal pasti rumah limas Johor mengikut Ensiklopedia Malaysiana (1996:252) ialah melalui bumbung rumahnya iaitu mempunyai perabung panjang dan bersambung dengan empat buah perabung limas. Pada puncak bumbung dipasang kayu tajam yang dipanggil tunjak langit (Suraya 1995:39). Rumah ini mempunyai ruang hadapan yang dipanggil serambi dan di hujung serambi ialah ruang anjung. Rumah ini dibuat daripada kayu cengal, keranji, perak dan meranti (Suraya 1995:39).

Garis besar rumah Limas terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian depan, bahagian tengah dan bahagian belakang. Pada bahagian depan rumah terdapat tangga dengan anak tangga berjumlah ganjil. Bahagian dalamnya pula berupa pelataran yang luas. Ruangan ini dijadikan pusat berkumpul pada majlis-majlis seperti kenduri dan majlis Marhaban. Ruang tamu sekaligus akan dijadikan ‘ruang pamer’ untuk menunjukkan kemakmuran pemilik rumah. Pada bahagian ruangan dinding akan dihiasi dengan ukiran bermotif flora yang dicat dengan warna keemasan. Ruang bahagian belakang digunakan sebagai dapur.

Dengan istilah lain, bahagian depan digelar ‘rumah ibu’ (sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga), bahagian tengah sebagai ‘rumah tengah’ dan bahagian belakang ialah ‘rumah dapur’ (www.sumsel.go.id/seniBudaya). Kebiasaannya pada bahagian hadapan rumah mesti mempunyai bahagian lantai yang lebih rendah daripada aras rumah ibu. Bahagian tersebut berbumbung namun selalunya tak berdinding dan cuma berpagar susur (railings). Bahagian ini juga dipanggil ‘serambi’, ataupun ‘selasar’ (www.dipardass.go). Ruang ini menjadi tempat pengantara di antara bahagian luar rumah dan dalam rumah untuk tujuan melakukan pekerjaan, beristirahat atau menerima tetamu yang bukan muhrim. Pada bahagian belakang rumah pula terdapat ‘pelantar’ yang menjadi tempat kerja basahan atau basuhan.

Pengasingan antara bahagian ini dilihat sebagai sesuai dengan kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Pembahagian bahagian-bahagian rumah dapat mengelak daripada kebakaran. Hal ini demikian kerana kebakaran selalunya berpunca daripada api masakan. Oleh itu, jika bahagian dapur terbakar, lebih mudah untuk mengawal bahagian lain daripada terbakar. Tambahan lagi, sekiranya pemilik rumah ingin memperbesar rumah, struktur rumah tengah pula boleh ditambah di antara Rumah Ibu dan Rumah Dapur. Struktur rumah limas yang terangkat atas tiang dilihat dapat menambah pengudaraan. Hal ini demikian juga disesuaikan dengan gandingan pelbagai gaya tingkap, termasuk jenis tingkap sependiri seperti ‘French window’, yang berguna untuk kemasukan angin dan cahaya (Lihat lampiran). Menurut Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al (2004: 28) pula, pembinaan tingkap seperti itu adalah disebabkan kekerapan aktiviti orang Melayu yang banyak duduk dilantai seperti makan, tidur dan sembahyang menyebabkan tingkap dibuat rendah hingga ke lantai untuk disesuaikan dengan keadaan duduk.

Rumah limas mempunyai ‘bumbung lima’ atau ‘limas’ (atap perisai). ‘Bumbung lima’ ialah jenis yang ada lima perabung atau empat perabung seperti piramid untuk struktur ringkas seperti pondok wakaf (http://myschoolnet.ppk.kpm.my). Lebih canggih lagi, ‘bumbung lima’ ini ditambah struktur segitiga di atasnya yang dipanggil ‘limas’ (dari ‘lima emas’ karena suatu masa dulu hanya rumah orang berada atau pembesar yang berbumbung limas, dan mungkin mula digunakan semasa Kesultanan Johor-Riau).

Sifat paling ketara pada rumah limas adalah pada struktur binaannya yang didirikan di atas tiang. Kelebihan yang diperolehi daripada ‘keterapungan’ ini; termasuklah mengelakkan daripada mudah dimasuki haiwan liar, dan dapat mengelak air daripada masuk ke rumah jika berlaku banjir. Rumah juga akan lebih sejuk akibat pengudaraan pada semua bahagian (dari atas, tepi dan bawah). Selain itu, ruang kosong pada bahagian bawah rumah (juga disebut ‘polong’) menjadi tempat yang sesuai untuk menyimpan barang.

Seni bina rumah limas dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu serta hubungan mereka yang sangat erat dengan persekitaran dan pegangan mereka. Antara faktor yang mempengaruhi seni bina rumah limas ialah faktor iklim, agama Islam, sosial dan alam sekitar. Faktor agama Islam menyebabkan rumah didirikan mengikut arah kiblat dan ruang di antara kaum lelaki dan perempuan dipisahkan. Rumah limas mempunyai bilik yang lebih daripada satu. Hal ini demikian merangkumi bilik tidur utama, bilik tidur anak lelaki, bilik tidur anak perempuan dan bilik tidur tetamu. Selain itu, pembahagian rumah kepada rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur juga merupakan pengaruh sosio agama masyarakat Melayu terdahulu termasuklah dalam masyarakat Melayu Johor. Kewujudan konsep pelan terbuka menyebabkan wujudnya pelbagai bentuk simbol fizikal pemisah. Zon tetamu biasanya pada bahagian hadapan manakala zon keluarga pada bahagian belakang rumah (Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al 2004: 33).

Faktor iklim dan lokasi perumahan yang berhampiran dengan hutan pula menyebabkan rumah limas ini bertiang dengan lantainya tinggi daripada permukaan tanah supaya dapat mengatasi kelembapan tanah dan dapat mengelak daripada dimasuki haiwan liar (Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al 2004: 28). Selain itu, tiang ini juga dapat mencegah ruang di dalam rumah ditenggelami air jika berlaku banjir.

Budaya masyarakat Melayu kaya dengan kiasan atau pengaruh daripada agama Islam sehinggakan pengaruh seni bina Barat juga tidak mampu menandinginya. Rumah limas biasanya dibina menghadap matahari naik atau jatuh untuk menyesuaikannya dengan arah kiblat dan juga untuk mengawal suhu di dalam rumah (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997: 36). Orang-orang tua juga mempercayai bahawa kebiasaan membuka tingkap pada awal pagi walaupun matahari belum terbit akan memanggil malaikat pembawa rezeki. Pintu dan tingkap pula dihiasi dengan ukiran berbentuk awan larat yang indah sebagai tanda mengalu-alukan tetamu yang datang kerana mereka dianggap membawa rezeki.

Unsur sufisme dalam seni bina rumah limas adalah sebagai satu perumpamaan kubur supaya sentiasa mengingati kematian. Dengan itu, manusia akan menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan mengamalkan perkara yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Konsep ini dapat dilihat pada rumah limas yang mempunyai petunjuk langit pada bahagian hujung kiri dan kanan bumbung dan berbentuk batu nisan. Unsur ini juga sebagai perlambangan bahawa manusia mendapat cahaya daripada langit.

Anak tangga rumah Melayu tradisional sengaja dibina dengan bilangan ganjil kerana bilangan genap menunjukkan kesempurnaan dan ia hanya milik Allah S.W.T. Hal ini demikian juga sama dengan seni bina rumah limas. Bilangan ganjil menunjukkan manusia sebagai hamba-Nya yang lemah dan tidak sempurna. Biasanya masyarakat Melayu tradisional mengambil bilangan 3, 5, 7 dan 9 anak tangga. Angka 7 sering dikaitkan dengan pengertian 7 petala langit, 7 petala bumi, 7 hari dan sebagainya. Hal ini demikian menjelaskan bahawa masyarakat Melayu tradisional sering mengadaptasi isi kandungan al-Quran dalam seni bina rumah mereka (http://www.palembang.go.i).

Pada bahagian tebar layar, masyarakat Melayu Johor menggabungkan corak bulan atau matahari naik. Namun begitu, mereka juga mengggunakan unsur flora. Ukiran susur bayung membuktikan bahawa corak yang digunakan oleh masyarakat Melayu dikaitkan dengan etika nilai kepercayaan kepada Tuhan yang Esa (Rahmah Bujang dan Nor Azlin Hamidon 1998:121). Motif ukiran adalah menggambarkan cahaya atau hidayah dari Allah S.W.T. yang diperlukan oleh manusia. Ukiran bersambung-sambung yang menghiasi pintu pula adalah kiasan kepada kalimah syahadah yang mengikat dan menghubungkan manusia dengan Allah S.W.T. selama-lamanya. Menurut kepercayaan masyarakat Melayu tradisional, kalimah syahadah perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian, bukan sahaja sebagai kalimah suci tetapi juga sebagai lambang hubungan rapat manusia dengan Allah S.W.T.